Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanKedah

Tabika KEMAS Sungai Tiang Mula Sesi 2026, Pendidikan Holistik Setanding Tadika Swasta

By 12 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 12 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 31 murid memulakan sesi persekolahan baharu bagi tahun 2026 di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sungai Tiang 1, di sini semalam sekali gus membuktikan peranan Tabika KEMAS dalam menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang holistik, berkualiti dan mampu milik khususnya kepada komuniti luar bandar.

Daripada jumlah tersebut, seramai 24 murid terdiri daripada kaum Melayu manakala tujuh lagi merupakan murid Siam, mencerminkan kepelbagaian kaum serta keharmonian masyarakat setempat yang turut diterapkan sejak usia awal melalui persekitaran pembelajaran di tabika berkenaan.

Guru dan pelajar Tabika KEMAS Sungai Tiang 2.

Tabika KEMAS terus menjadi pilihan ibu bapa kerana menawarkan pembelajaran seimbang dari aspek rohani dan jasmani dengan yuran bulanan serendah RM15, sekali gus memberi peluang kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah untuk menerima pendidikan awal yang berkualiti setanding tadika swasta.

Sesi pembelajaran di Tabika KEMAS Sungai Tiang 1 dijalankan sehingga pukul 1 tengah hari dengan pendekatan pembelajaran holistik yang merangkumi kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), di samping penerapan nilai moral, disiplin, adab serta pembentukan sahsiah kanak-kanak.

Selain itu, tabika ini turut melaksanakan program pratahfiz sebagai usaha menerapkan kemahiran al-Quran sejak peringkat awal, yang dilihat mampu membentuk asas kerohanian dan sahsiah murid secara menyeluruh.

Guru Tabika KEMAS Sungai Tiang 1, Siti Hajar Saidin, 51, berkata sambutan terhadap Tabika KEMAS pada tahun ini masih menggalakkan dengan pendaftaran murid yang memberangsangkan.

“Selain kemahiran akademik asas, kami memberi penekanan kepada nilai moral, disiplin dan adab bagi membentuk jati diri kanak-kanak selaras dengan budaya masyarakat setempat.

Pelajar Tabika KEMAS Sungai Tiang 1 yang baru selesai menjalankan aktiviti bersama guru.

“Pendidikan awal yang seimbang amat penting bagi memastikan kanak-kanak bersedia dari segi mental, emosi dan sosial sebelum melangkah ke alam persekolahan formal,” katanya ketika ditemui, pagi semalam.

Sementara itu, Tabika KEMAS Sungai Tiang 2 yang terletak bersebelahan turut memulakan sesi pembelajaran dengan pengambilan seramai 24 murid baharu, menunjukkan keperluan dan kepercayaan masyarakat terhadap peranan Tabika KEMAS di kawasan berkenaan.

Secara keseluruhannya, Tabika KEMAS bukan sahaja menyediakan pendidikan prasekolah yang mampu milik, malah terus membuktikan keupayaannya melahirkan generasi cilik yang berilmu, berakhlak dan seimbang sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan negara sejak peringkat awal usia.

-RI

Tinggalkan komen anda