
Laporan/foto: Radiah Rahim/Zayana Zahira (Pahang)
KUANTAN, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Pahang melancarkan Sistem Pengurusan Bantuan Rakyat Negeri Pahang atau e-Rakyat sebagai platform pusat sehenti bagi mengurus dan menyelaras maklumat bantuan rakyat secara lebih tersusun, bersepadu serta berkesan.

Wan Rosdy ketika berucap dalam perhimpunan tersebut.
Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosy Wan Ismail berkata sistem itu juga selari dengan hala tuju pentadbiran negeri yang menekankan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata sistem itu membolehkan kerajaan negeri membina, mengumpul dan menyelaraskan data bantuan antara jabatan serta agensi, sekali gus mengelakkan pertindihan penerima dan pembaziran peruntukan awam.
“Matlamat utama pelaksanaan e-Rakyat adalah untuk memastikan setiap bentuk bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak, disalurkan tepat pada masanya dan berasaskan keperluan sebenar rakyat.
“Melalui sistem ini juga perancangan bajet negeri dapat dilaksanakan dengan lebih tepat, realistik dan mampan, di samping memperkukuh kesejahteraan rakyat serta meningkatkan keupayaan tadbir urus kerajaan negeri secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar Pahang yang berlangsung di Dewan Kompleks Bandaraya Kuantan, di sini semalam.

Wan Rosdy bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang bergambar kenangan dengan penjawat awam yang hadir ke perhimpunan tersebut.
Pelaksanaan Sistem e-Rakyat adalah secara berfasa dengan fasa pertama melibatkan pendaftaran Ketua Isi Rumah dan Ahli Isi Rumah serta semakan penerima bantuan sedia ada khususnya di bawah Inisiatif Makmur Pahang.
Sementara itu, fasa kedua pula melibatkan permohonan bantuan secara dalam talian yang dijadualkan bermula April ini sebelum diperluaskan kepada bantuan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
Orang ramai boleh mendaftarkan diri ke dalam sistem ini menerusi portal erakyat.pahang.gov.my.
-RI





