Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Satu Beg Darah Mampu Selamatkan Tiga Nyawa

By 28 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah/Hafiezuddin Md. Ghazazi (Jelebu)

JELEBU, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Amalan menderma darah secara berkala perlu menjadi tanggungjawab bersama memandangkan tabung darah negara sering mengalami kekurangan bekalan.

Nor Khaniza bersyukur berpeluang menderma darah.

Pegawai Perhubungan Awam Hospital Tuanku Ja’afar Mohamad Redzuan Saib berkata satu beg darah yang didermakan pula boleh dimanfaatkan oleh tiga orang penerima dengan membekalkan sel darah merah, platlet dan plasma.

“Menderma darah tidak memudaratkan kesihatan malah ia membantu memelihara kesihatan kardiovaskular disamping penderma dapat mengetahui kumpulan darah, bacaan tekanan darah dan tahap haemoglobin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di Kempen Derma Darah anjuran Pusat Perkhidmatan Darah, Hospital Tuanku Ja’afar yang berlangsung di Dewan Besar Kuala Klawang, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penderma, Nor Khaniza Mohd. Kamar, 43, bersyukur kerana dapat berbuat demikian dan menyelamtkan nyawa orang lain tanpa mengira kaum atau bangsa.

“Syukur, memandangkan sebelum ini saya tidak dapat berbuat demikian kerana tidak menepati syarat-syarat penderma darah iaitu tidak cukup berat badan,” katanya.

Yuki Chin menderma darah untuk membantu pesakit.

Manakala menurut Yuki Chin, 37, yang hadir bersama suami, mengambil keputusan menderma darah setelah menemani mendiang ayahnya ke pusat rawatan dialisis sebelum ini.

“Saya menyedari betapa pentingnya darah kepada pesakit pada waktu-waktu kritikal di mana pesakit boleh meninggal dunia apabila bekalan darah semasa rawatan tidak mencukupi,” katanya.

Penganjuran program ini telah berjaya mengumpul darah dari 60 orang penderma daripada pelbagai latar belakang dan kumpulan darah.

-RI

Tinggalkan komen anda