Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Plog dan Picnic Dekati Komuniti, Perkasa Kesedaran Kebersihan di Tasik Pendang

By 28 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Majlis Daerah Pendang (MDP) menganjurkan Program Plog dan Picnic di Tasik Pendang hari ini sebagai pendekatan santai namun berimpak bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, khususnya di kawasan rekreasi awam, melibatkan lebih 50 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Program yang menggabungkan aktiviti berjalan pantas (brisk walk), mengutip sampah atau plogging (beriadah sambil mengutip sampah) serta berkelah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pembersihan bandar yang dilaksanakan secara berterusan oleh MDP dalam usaha mewujudkan persekitaran bandar yang bersih, selamat dan selesa untuk komuniti setempat.

Program Jom Plogging memupuk semangat berpasukan dan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan.

Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Pembangunan Masyarakat MDP Bismayazar Yusoff, berkata aktiviti beriadah sambil mengutip sampah berkenaan merupakan program tahunan yang bertujuan mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap aspek kebersihan selain memupuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Melalui pendekatan santai seperti ini, kita dapat menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat sekali gus menanam sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Beliau berkata program itu juga menjadi pembuka tirai kepada pelaksanaan Local Agenda 21 Daerah Pendang bagi tahun ini yang bertemakan ‘Komuniti Sihat, Pendang Sejahtera’, selari dengan usaha memperkasa penglibatan komuniti dalam pembangunan mampan di peringkat tempatan.

Mengumpul dan mengedar pakaian secara percuma menjadi sebahagian daripada agenda utama dalam aktiviti Jom Plogging.

Menurutnya lagi, pelaksanaan inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada beberapa elemen utama Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), antaranya kemampanan bandar dan komuniti serta peningkatan kesedaran terhadap isu perubahan iklim.

MDP menyasarkan menjelang tahun 2030, Pendang akan muncul sebagai sebuah bandar yang bersih, bebas daripada sampah serta menjadi antara kawasan rekreas i yang indah dan menarik di negeri Kedah, sekali gus menyokong kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.

-RI

Tinggalkan komen anda