
Laporan/foto: Hasnida Saarani/Media MBNS
SEREMBAN, 30 Jan (MalaysiaAktif) – Usaha yang digerakkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang terus memperkukuh usahawan tempatan selari dengan hasrat kerajaan Negeri Sembilan untuk terus memperkasa ekonomi rakyat melalui peluang keusahawanan berimpak tinggi khususnya dalam sektor makanan dan minuman, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.

Aminuddin Harun bersama Aminuddin Zulkifli (tiga dari kanan) ketika gimik Perasmian Pembukaan Outlet Kopiesatu Dataran Senawang.
“Kerajaan negeri menyambut baik usaha FAMA dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam membuka lebih banyak ruang kepada usahawan tempatan. Kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seperti ini perlu diteruskan demi merancakkan ekonomi setempat serta memperluas peluang pendapatan rakyat.
“Pembukaan Outlet Kopiesatu ini bukan sekadar menyediakan ruang niaga, malah menawarkan model pelesenan yang lengkap merangkumi latihan, bimbingan operasi, penggunaan sistem jualan, promosi serta pemantauan berterusan. Pendekatan ini amat penting bagi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang mampu berkembang secara tersusun dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Outlet Kopiesatu Dataran Senawang, di sini hari ini.
Kopiesatu adalah satu inisiatif strategik di bawah KPKM yang memfokuskan pembangunan perniagaan makanan dan minuman berasaskan kopi tempatan.

Aminuddin diapit Aminuddin Zulkifli (kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim (kiri)
Untuk rekod, Outlet Kopiesatu Dataran Senawang merupakan cawangan keempat beroperasi di Negeri Sembilan.
Di peringkat nasional pula, FAMA telah membangunkan sebanyak 23 outlet Kopiesatu di seluruh negara sebagai sebahagian usaha memperluas rangkaian usahawan kopi tempatan.
Inisiatif ini diharap terus berkembang dan memberi manfaat berpanjangan kepada usahawan, pengguna serta komuniti setempat, sekali gus mengukuhkan peranan sektor agromakanan dalam pertumbuhan ekonomi negara.
-RI





