Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Usaha Pewartaan Kampung Orang Asli Ulu Kemensah Diteruskan – Juwairiya

By 18 Januari 2026Januari 20th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

HULU KELANG, 18 Jan (MalaysiaAktif) – Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli memberi jaminan akan terus memperjuangkan status pewartaan Kampung Orang Asli (KOA) Ulu Kemensah, di sini bagi memastikan hak penduduk di kawasan tersebut terpelihara.

Beliau berkata usaha untuk mewartakan perkampungan berkenaan telah dimulakan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sejak 2017, namun berdepan kekangan berikutan isu pertindihan kawasan dengan Hutan Simpan Hulu Gombak.

Penyampaian bakul makanan kepada penduduk Orang Asli Ulu Kemensah.

“Kampung kita ini masih berada dalam kawasan ‘wild bird‘ dan simpanan hutan di bawah Jabatan Perhutanan. Saya telah bersurat semula kepada pihak JAKOA untuk mengangkat kembali isu ini.

“Kita mahu akhirnya masyarakat di sini dapat tinggal di kampung ini sebagai milik mereka yang sah sepenuhnya,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Lenggoi bersama komuniti Orang Asli Ulu Kemensah, di sini hari ini.

Hadir sama Tok Batin KOA Ulu Kemensah Jamil Ibak, wakil-wakil JAKOA serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Dalam pada itu, Juwairiya turut menyentuh mengenai potensi ekonomi kampung tersebut yang kini merupakan sebahagian daripada jajaran Gombak-Hulu Langat Geopark.

Menurutnya, seramai 150 peniaga di sekitar Kemensah kini dalam proses pemutihan oleh MPAJ bagi membolehkan mereka beroperasi secara sah menerusi pemberian permit bermula 1 Jan lalu.

“Ini adalah hasil susulan lawatan Dato’ Menteri Besar tahun lalu. Kita mahu penduduk boleh berniaga dengan tenang dan mengikut undang-undang, sekali gus menyokong aktiviti ekonomi setempat seiring agenda ‘National Geopark’,” katanya.

Tok Batin Jamil sedang melakukan ritual sempena sambutan Hari Lenggoi di Kampung Orang Asli Ulu Kemensah.

Mengulas mengenai kemudahan infrastruktur, Juwairiya memaklumkan pihaknya akan memperuntukkan pemasangan lampu solar di kawasan kampung pada tahun ini bagi meningkatkan keselamatan penduduk.

“Selain itu, kemudahan Wi-fi Starlink yang dipasang sebelum ini akan ditambah baik dengan usaha membawa menara telekomunikasi tetap.

“Pihak pejabat DUN juga akan memasukkan peruntukan untuk menaik taraf pentas dan balai raya yang menjadi pusat aktiviti komuniti di sini,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda