
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Don Nasrul (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Kira-kira 30 buah rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Orang Asli (KOA) Teluk Jawa, Pasir Gudang, semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan ll, Firdaus Ahmad, berkata kebakaran di Kampung Orang Asli (KOA) Teluk Jawa, Pasir Gudang melibatkan hampir 90 peratus kemusnahan rumah dan harta benda penduduk di situ.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan ll Firdaus Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu pada 7.04 pagi.
“Tiga buah jentera bersama 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi kejadian, api marak dengan pantas kerana perkampungan atas air berkenaan menggunakan struktur sementara yang dibina daripada dinding kayu, lantai papan dan bumbung zink yang bahan mudah terbakar,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Firdaus berkata kebakaran telah mengakibatkan kira-kira 90 peratus kemusnahan membabitkan keseluruhan 30 unit rumah.

Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan di Dewan Muafakat Taman Megah Ria, Pasir Gudang bagi menempatkan semua mangsa kebakaran.
“Kebakaran besar ini turut menyebabkan kerosakan dan kemusnahan pada dua bot berenjin, sebuah kereta dan enam buah motosikal yang tidak sempat untuk diselamatkan,” katanya yang turut mengesahkan tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam insiden itu.
Tambahnya, kebakaran berjaya dikawal pada 7.41 pagi dan kerja-kerja pemantauan masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
-RI





