
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Johor melakar sejarah dengan pelancaran Petrosains Playfarm pertama di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ), sekali gus menjadikan institusi tersebut perpustakaan pertama di negara ini yang menempatkan inisiatif berimpak tinggi berkenaan.

Pengunjung berpeluang menerokai sistem akuaponik, kaedah pertanian menegak, serta penghasilan baja kompos.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata pengenalan Playfarm ini merupakan kesinambungan jalinan strategik antara kerajaan negeri, PETRONAS, Petrosains, dan PPAJ yang telah terjalin erat sejak tahun 2008.
“Kolaborasi yang memasuki usia 17 tahun ini terus konsisten memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pengalaman pembelajaran yang lebih segar, kreatif dan inklusif khusus untuk anak-anak Bangsa Johor,” katanya selepas merasmikan majlis pembukaan Petrosains Playfarm di PPAJ, di sini semalam.
Menurut Aznan, inisiatif tersebut bukan sekadar hab pembelajaran, malah berpotensi besar untuk diangkat sebagai antara tarikan utama pelancongan pendidikan (Edu-Tourism) dan destinasi kekeluargaan di negeri ini.

Playfarm bertujuan menyuntik semangat ingin tahu, memupuk kesedaran alam sekitar, serta menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup lestari.
“Usaha ini selari dengan aspirasi kerajaan negeri dalam menyokong Tahun Melawat Johor 2026, selain memperkukuh imej Johor sebagai sebuah negeri yang progresif dalam inovasi pendidikan dan pembangunan modal insan.
“Saya menyarankan masyarakat untuk memanfaatkan kemudahan ini. Perpustakaan kini bukan sekadar tempat membaca, tetapi gedung ilmu interaktif yang membolehkan orang ramai mendalami sains melalui konsep Playfarm ini,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Ezarisma Azni Mohamad dan Pengarah PPAJ Ungku Noorakmal Ungku Sulaiman.
-RI





