
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Hendry Nurdin (Tawau)
TAWAU, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 80 ketua isi rumah yang terjejas dalam tragedi kebakaran berhampiran Sekolah Kebangsaan Titingan, di sini, baru-baru ini menerima bantuan segera berupa barangan keperluan asas.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata bantuan turut disalurkan melalui pejabat perhubungan wakil rakyat dengan kerjasama pelbagai agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar langkah penyusunan semula penempatan dapat diteliti oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan selain memperbanyakkan penyediaan Rumah Rakyat bagi memberi pilihan kediaman yang lebih selamat dan selesa kepada penduduk.
“Permohonan mangsa kebakaran untuk mendapatkan Rumah Rakyat kini sedang dikumpulkan dan akan diteliti oleh pihak berkaitan, manakala punca kejadian masih dalam siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa di pusat pemindahan sementara, di sini Sabtu lepas.
Beliau turut menegaskan keperluan aspek keselamatan kediaman di kawasan berisiko tinggi, termasuk pematuhan spesifikasi pembinaan oleh PBT, penggunaan sambungan elektrik dan air yang selamat serta mengelakkan pembinaan rumah terlalu rapat.
-RJ-





