
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG BARU, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer kini memulakan lembaran baharu dengan perpindahan ke lokasi ketiga yang lebih strategik bagi memastikan penyampaian inisiatif Kerajaan Negeri Selangor sampai terus kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Anfaal Saari, berkata perpindahan tersebut dilakukan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung terutamanya golongan warga emas dan ibu bapa agar tidak perlu lagi bersusah payah menaiki tangga.

Anfaal menurunkan tanda tangan simbolik program Hari YB Bertemu Rakyat di PKM DUN Taman Templer
Menurut beliau, lokasi terdahulu di Selayang Segar terpaksa ditutup ekoran projek pembangunan semula oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS), sekali gus mendorong pihaknya mencari premis yang lebih mesra komuniti di kawasan Selayang Baru.
“Lokasi baharu ini sangat dekat dengan sekolah dan kawasan tumpuan orang ramai.
“Ibu bapa dan guru-guru kini lebih mudah untuk datang berurusan atau menghantar surat permohonan secara terus kepada saya,” katanya ketika program Hari YB Bertemu Rakyat DUN Taman Templer, semalam.
Tambahnya, pejabat tersebut beroperasi sepenuhnya pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang, bertindak sebagai pusat sehenti bagi membawa turun pelbagai inisiatif kebajikan negeri kepada penduduk setempat.
Anfaal yang juga EXCO Negeri Selangor turut menyifatkan penduduk di kawasannya beruntung kerana kedudukan geografi DUN Taman Templer yang bersebelahan dengan DUN Sungai Tua yang diwakili Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.
PKM DUN Taman Templer terletak di alamat No.13 Jalan 42 Selayang Baru.
-AA-





