
Laporan/foto: Azrul Azham (Jerantut)
JERANTUT, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Berkat kegigihan dan sokongan agensi setempat, jenama Kayrol Burger kini membuktikan bahawa bantuan kerajaan mampu menjadi pemangkin perubahan hidup yang signifikan.
Memulakan langkah dalam dunia perniagaan pada tahun 2013, pengusaha di sebalik jenama ini merupakan antara testimoni kejayaan program bantuan e-Kasih.

Mohd Khairul mampu mengekalkan jenama Kayrol Burger lebih 10 tahun.
Mengimbas kembali detik awal penglibatannya, pengusaha Kayrol Burger, Mohd Khairul Mohd, 40, menyifatkan bantuan modal bernilai RM10,000 dan kelengkapan perniagaan daripada Pertubuhan Peladang Jerantut sebagai titik tolak perubahan hidupnya.
“Bantuan alat keperluan berniaga itulah yang membolehkan saya berdiri tegak sehingga ke hari ini. Tanpa sokongan awal tersebut, sukar untuk saya membayangkan Kayrol Burger mampu bertahan lebih 10 tahun,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.
Menurut salah seorang pelanggan setia, Ahmad Hazrul, 35, kualiti rasa yang konsisten menjadi tarikan utama jenama ini.
“Keunikan burger di Kayrol ini ialah ia berjaya menimbulkan citarasa Jerantut, sebuah bandar yang kaya dengan keindahan alam sebagai pintu masuk ke Taman Negara. Rasanya asli dan memenuhi selera kami di sini,” jelasnya.
Demi memastikan kelestarian perniagaan dan memenuhi permintaan pelanggan yang berubah mengikut musim, Kayrol Burger tampil dengan strategi adaptasi menu yang unik.

Ahmad Hazrul, pelanggan setia yang sentiasa menyokong Kayrol Burger.
Jika pada hari biasa premis ini beroperasi dari jam 11 pagi hingga 10 malam dengan menu burger ikoniknya, ketibaan bulan Ramadan menyaksikan transformasi operasi yang dinanti-nantikan penduduk Jerantut.
Sepanjang bulan mulia ini, fokus jualan beralih sepenuhnya kepada menu roti john, dengan waktu operasi bermula seawal jam 3 petang sehingga semua tempahan habis terjual.
-RI





