
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
?BATU CAVES, 1 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Selangor menegaskan bahawa sebarang penyelesaian membabitkan rumah ibadat di negeri ini dilakukan berasaskan kedaulatan undang-undang (rule of law) dan bukannya melalui tindakan drastik atau ‘ambush’.
?Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pendekatan secara rundingan adalah ‘Cara Selangor’ bagi memastikan keharmonian kaum terus terpelihara meskipun berdepan dengan isu teknikal kedudukan bangunan di atas tanah rizab.

Amirudin menegaskan Kerajaan Selangor tidak sesekali bertindak sombong dalam menguatkuasakan undang-undang.
?Beliau menjelaskan, kerajaan negeri tidak sesekali bertindak sombong dalam menguatkuasakan undang-undang, sebaliknya sentiasa membuka ruang perbincangan dengan pihak pengurusan rumah ibadat.
?”Kita bukan main ambush, bukan dengan sombong namun kita buka ruang untuk rundingan dan perbincangan, tetapi pada masa yang sama, kita kena pertahankan undang-undang yang ada dalam negara dan negeri kita.
?”Ada kalanya kita terpaksa mengambil tindakan jika ia bertentangan dengan pelan pembangunan atau melibatkan tanah rizab utiliti milik TNB (Tenaga Nasional Berhad), Air Selangor atau JKR (Jabatan Kerja Raya) namun ia dilakukan demi jaminan kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya.
?Mengambil contoh konflik sebuah kuil di Subang sebelum ini, Amirudin berkata ketegangan kaum hampir tercetus akibat provokasi pihak tertentu.
Bagaimanapun, katanya melalui jalan rundingan, persetujuan berjaya dicapai dengan pemilik tanah.
?”Akhirnya kuil tersebut dapat beroperasi di tempat yang lebih selesa dengan semua pihak mendapat kawasan yang lebih baik.
“Itulah cara kita di Selangor, kita selesaikan dengan hikmah,” jelas beliau semasa berucap pada Majlis Sambutan Taipusam Peringkat Negeri Selangor, di sini semalam.

Amirudin menyerahkan cek bantuan kewangan kepada seorang wakil sebuah kuil di Selangor.
Di majlis tersebut sebanyak 54 kuil dari seluruh Selangor menerima cek peruntukan yang keseluruhannya berjumlah RM579,000.
?Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua menekankan bahawa sebagai pemimpin muslim, beliau menggalas amanah untuk melindungi hak semua rakyat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
?”Saya seorang Muslim, tetapi sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, saya kena pastikan bukan sahaja masjid dan surau terjaga, malah rumah ibadat kaum lain juga dipertahankan supaya mereka boleh beroperasi secara sah.
?”Walaupun tiupan sentimen kaum ketika ini agak panas, kita harus kekal rasional. Jika kita tinggalkan tanggungjawab ini, ia hanya akan membawa kerosakan kepada semua,” tegasnya lagi.
-RI





