Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

MyKiosk Taman Dahlia Perkasa Ekonomi Penjaja Kecil di Kempas

By 1 Februari 2026Februari 3rd, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/Facebook Majlis Bandaraya Johor Bahru 

JOHOR BAHRU, 1 Feb (MalaysiaAktif) – Pusat Penjaja MyKiosk di Laman Santai, Taman Dahlia, Kempas merupakan salah satu inisiatif memperkasa ekonomi rakyat melalui penyediaan ruang perniagaan yang lebih tersusun, bersih dan selamat untuk penjaja kecil.

Mohd Haffiz turut meninjau dan beramah mesra bersama peniaga-peniaga kecil di Laman Santai @ Taman Dahlia, Kempas.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, berkata penubuhan Pusat Penjaja ini merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertujuan meningkatkan taraf hidup peniaga kecil, khususnya golongan B40 melalui penyediaan kiosk perniagaan yang dilengkapi kemudahan tenaga solar.

“Sebagai agensi penerima, MBJB amat mengalu-alukan inisiatif daripada kerajaan Persekutuan yang dilihat mampu membantu memperkasa ekonomi peniaga kecil dan usahawan mikro di Johor Bahru.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk setempat, malah menyokong agenda besar negeri dalam menyediakan pengalaman bandar yang menarik, selesa dan mesra pelawat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Penjaja MyKiosk di Laman Santai @ Taman Dahlia Kempas, di sini kelmarin.

Mohd Haffiz (tengah) merasmikan Pusat Penjaja MyKiosk dan Laman Santai @ Taman Dahlia semalam dan berharap akan menjadi contoh terbaik pembangunan berteraskan komuniti, pemangkin ekonomi rakyat serta penyumbang kepada kejayaan Tahun Melawat Johor 2026.

Sementara itu, Mohd Haffiz berkata pusat penjaja seperti ini turut berpotensi menjadi tarikan pelancongan komuniti yang menampilkan keunikan makanan tempatan, budaya setempat serta suasana kejiranan yang harmoni.

“Pembukaan Laman Santai @ Taman Dahlia ini mencerminkan komitmen MBJB dalam menyediakan ruang awam yang inklusif dan berorientasikan rakyat dan bukan sekadar tempat beriadah, malah sebagai medium untuk interaksi sosial, aktiviti komuniti dan gaya hidup sihat,” katanya.

Turut hadir Ketua Whip MBJBDatuk A. Aziz Ahmad, Ahli Majlis Zon Kempas Datuk Abd Rashid Kasman dan Ahli Majlis Zon Tampoi, Ahmad Al-Mubarak Mohamed Kunyi.

-RI

Tinggalkan komen anda