
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/JBPM Johor
JOHOR BAHRU, 1 Feb (MalaysiaAktif) – Semua masjid dan surau di seluruh negeri Johor diminta melaksanakan solat sunat memohon hujan (Istisqa’) secara berjemaah bermula hari ini sehingga Isnin ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid, berkata pelaksanaan solat sunat itu adalah bagi menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail.

Mohd Fared berkata inisiatif itu merupakan usaha dan doa agar negeri ini dikurniakan hujan susulan cuaca semasa yang menjejaskan sumber air
Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan satu bentuk ikhtiar dan doa kepada Allah SWT agar negeri ini dikurniakan hujan memandangkan keadaan cuaca semasa yang memberi kesan kepada sumber air.
“Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan pusat-pusat tadahan air di seluruh negeri kembali dipenuhi dengan bekalan air yang bersih dan mencukupi untuk keperluan seluruh Bangsa Johor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain menangani isu bekalan air, Mohd Fared menjelaskan bahawa solat Istisqa’ ini juga bertujuan memohon bantuan Ilahi bagi meredakan insiden kebakaran yang dilaporkan berlaku di beberapa lokasi di Johor ketika ini.
“Pelaksanaan solat berkenaan akan dijalankan selama tiga hari berturut-turut sejurus selepas selesai solat fardhu Zohor di setiap premis ibadah terlibat,” jelas beliau.
-AA-





