Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

JKR Serah Projek Siap Naik Taraf Auditorium D’Sury

By 4 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Othman/Sharil Alias (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 4 Feb (MalaysiAktif) – Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan menyerahkan projek kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf Auditorium D’Sury kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan, semalam.

Nicole Tan sedang menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Penyerahan Projek Auditorium D’Sury

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon menyifatkan penyiapan projek berkenaan sebagai satu lonjakan penting dalam memperkasa ekosistem seni budaya di Negeri Sembilan.

“Penyerahan ini menjadi tanda aras kejayaan pihak kontraktor di bawah seliaan JKR Negeri Sembilan dalam menyiapkan kerja-kerja penambahbaikan yang merangkumi aspek teknikal dan infrastruktur demi keselesaan penggiat seni serta pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis berkenaan di Kompleks JKKN Negeri Sembilan, di sini semalam.

Kelihatan di barisan hadapan adalah Nicole Tan Lee Koon (tengah, berbaju merah jambu) diiringi oleh wakil JKR Negeri Sembilan, Mohd Adam Abdullah (baju batik gelap), Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris, serta Pengarah JKKN Negeri Sembilan, Mazidah Mustapha (baju biru)

Majlis disempurnakan menerusi simbolik penyerahan kunci oleh Ketua Jurutera Elektrik Negeri, Ir. Mohd Adam Abdullah yang mewakili Pengarah Kerja Raya Negeri Sembilan kepada Pengarah JKKN Negeri Sembilan Mazidah Mustapha menandakan fasiliti tersebut kini bersedia untuk beroperasi sepenuhnya.

“Dengan wajah baharu dan fasiliti yang lebih kondusif, Auditorium D’Sury kini bersedia menjadi hub utama penganjuran acara bertaraf nasional dan antarabangsa, sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan seni di negeri ini serta memberi keselesaan optimum kepada penonton,” katanya.

Auditorium D’Sury dijangka akan kembali menjadi nadi utama aktiviti kebudayaan di Seremban dengan pelbagai pengisian program yang telah diatur oleh pihak JKKN.

-AA-

Tinggalkan komen anda