
Laporan/foto: Khairul Othman (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 8 Feb (MalaysiAktif) – Masjid Dato’ Undang Luak Jelebu yang dibina dengan kos RM8.85 juta menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan kini telah siap sepenuhnya.
Majlis penyerahan masjid yang mula dibina pada Mac 2022 ini disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menandakan ia kini bersedia untuk dimanfaatkan sepenuhnya penduduk setempat menjelang Ramadan.

Aminuddin menyaksikan upacara menandatangani dokumen penyerahan projek di antara pihak kontraktor dan agensi pelaksana.
Dalam ucapannya, Aminuddin menzahirkan harapan agar masjid ini menjadi nadi penyatuan ummah melalui pelbagai aktiviti keagamaan dan kebajikan.
“Ini merupakan masjid pertama yang berjaya disiapkan pada tahun 2026 melalui peruntukan kerajaan Persekutuan dan dijangka menjadi pusat utama pengimarahan sempena Ramadan yang bakal tiba,” katanya, di sini hari ini.
Menyentuh aspek pembangunan syiar Islam, Menteri Besar itu turut menekankan peruntukan RM16.05 juta dalam Belanjawan Negeri 2026, yang merangkumi RM6.5 juta untuk penyelenggaraan masjid dan RM5.05 juta bagi insentif pegawai masjid.

Simbolik penyerahan Masjid Dato’ Undang Luak Jelebu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan (JKRNS), kontraktor MZA Teguh Jaya serta Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias atas komitmen memastikan kelancaran projek ini.
Dibina di atas tanah seluas 4.88 ekar, masjid baharu ini mampu menampung sehingga 1,000 jemaah sekali gus menjadikannya pusat ibadah utama di daerah Jelebu.
Bagi memastikan keselesaan jemaah, bangunan ini dilengkapi pelbagai kemudahan sokongan termasuk dewan keraian, bilik pengurusan jenazah, bilik pentadbiran, sistem audio moden, kawasan parkir mesra Orang Kurang Upaya (OKU) serta menara setinggi 25.2 meter.
-RI





