Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

MRL Lantik Maxis Sebagai Penyedia Infrastruktur Rangkaian Mudah Alih Jajaran ECRL

By 12 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Akmar Zulkifli/Sh.Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Maxis Berhad (Maxis) dilantik secara rasmi oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sebagai Penyedia Infrastruktur dan Rakan Telekomunikasi Pilihan Tunggal bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Perkongsian strategik selama tempoh 10 tahun ini mengukuhkan peranan Maxis dalam memacu salah satu projek infrastruktur nasional yang terpenting di Malaysia.

Pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Azizul Abdul Rahman

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pelantikan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan infrastruktur strategik negara dilaksanakan secara telus dan mampan, selain memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi di wilayah Pantai Timur.

“Kerjasama ini menandakan satu lagi inisiatif penting kerajaan dalam usaha membina masa depan digital negara, selari dengan pembangunan infrastruktur berskala nasional, khususnya melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti ECRL,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren Electric Multiple Unit (EMU) dan Electric Locomotive (E-Loco), serta Penyerahan Surat Pelantikan Penyedia Infrastruktur Rangkaian Mudah Alih bagi Jajaran ECRL di Stesen KotaSAS, di sini semalam.

Bagi memastikan kesalinghubungan universal, Maxis turut memeterai perjanjian dengan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) untuk bersama-sama membangunkan infrastruktur mudah alih baharu.

Kerjasama ini memastikan ECRL beroperasi sebagai rangkaian berkongsi, sekali gus membolehkan pengguna daripada semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) menikmati perkhidmatan tanpa gangguan di sepanjang keseluruhan jajaran.

-AA-

Tinggalkan komen anda