Skip to main content
Rencana & Pendapat

Muzium Kota Kuala Kedah Terus jadi Tarikan Pelancongan, Pusat Warisan Sejarah

By 9 Februari 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Asmawati  Abd. Mutalib/Ismail Hassan (Kota Setar)

KUALA KEDAH, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Muzium Kota Kuala Kedah yang terletak kira-kira 11 kilometer dari bandar Alor Setar, berhampiran muara Sungai Kedah, terus memainkan peranan penting sebagai pusat pemeliharaan warisan sejarah serta tarikan pelancongan utama di negeri Kedah.

Muzium ini merupakan antara tinggalan sejarah yang signifikan apabila kawasan tersebut dahulunya berfungsi sebagai pusat pentadbiran, perdagangan serta kubu pertahanan Kesultanan Melayu Kedah.

Struktur Rumah Api di Muzium Kota Kuala Kedah kekal terpelihara sebagai khazanah warisan maritim dan sejarah negeri.

Ia dipercayai dibangunkan sekitar abad ke-16 hingga ke-18 Masihi. Bangunan muzium yang wujud pada hari ini pula dibina sekitar tahun 1922 dan pernah digunakan sebagai pusat pentadbiran, pendidikan serta mahkamah pada era penjajahan British.

Antara tarikan utama yang masih dapat dilihat di kawasan muzium ialah Rumah Api, Pintu Gerbang Kacapuri, Pintu Gerbang British serta sisa Kota Mahligai Lama.

Muzium ini turut menempatkan sebanyak 58 koleksi artifak yang terdiri daripada artifak arkeologi, seramik dan batu bata asal pembinaan kota.

Selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan 13 pucuk meriam dan enam buah meriam buatan British yang berusia lebih 100 tahun.

Antara artifak unik yang dipamerkan ialah artifak dikenali sebagai “Pelita”, yang ditemui semasa penyelidikan arkeologi dan kerja-kerja konservasi tembok timur berhampiran Pintu Gerbang Kacapuri.

Muzium Kota Kuala Kedah dibuka kepada orang ramai setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang, dan hanya ditutup pada cuti umum.

Struktur tembok Kota Kuala Kedah kekal terpelihara sebagai bukti sistem pertahanan dan kepentingan strategik kota ini pada masa lalu.

Menurut Ketua Muzium Kota Kuala Kedah, Zaidi Harun seramai enam orang kakitangan muzium bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan operasi harian serta memastikan pemeliharaan warisan sejarah terus terpelihara untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

“Muzium ini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pameran yang memaparkan maklumat sejarah secara tersusun dan sistematik, malah berperanan sebagai pusat pendidikan tidak formal yang menyokong pembelajaran sejarah dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2025, hampir 157,000 orang pengunjung telah melawat muzium ini, sekali gus membuktikan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat tempatan dan pelancong luar.

Selain sebagai pusat pameran, Muzium Kota Kuala Kedah juga berfungsi sebagai medium yang menghubungkan masyarakat dengan sejarah dan budaya tempatan.

Melalui penganjuran program komuniti, pameran khas, ceramah sejarah serta aktiviti kebudayaan, muzium ini menjadi ruang interaksi yang mengukuhkan identiti budaya setempat dan memastikan warisan sejarah terus hidup dalam ingatan masyarakat serta tidak dilupakan oleh generasi akan datang.

-RI

Tinggalkan komen anda