Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pahang Sasar Lonjakan Pelancongan Seiring Tahun Melawat Malaysia 2026

By 11 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Pahang berhasrat menjadikan tahun 2026 sebagai Tahun Pemerkasaan Komuniti Pelancongan Pahang dalam memastikan limpahan ekonomi sektor itu diterjemahkan dalam bentuk peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan serta pengukuhan identiti dan produk tempatan.

Leong Yu Man ketika bercakap pada sidang media semalam. Hadir sama Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang Leong Yu Man berkata pelbagai program dirangka termasuk penganjuran Familiarisation Trip (FAM Trip), penyertaan roadshow serta sesi perniagaan di platform pelancongan antarabangsa seperti MATTA Fair, ITB Berlin, Arabian Travel Market, China Travel Fair dan Pahang Roadshow to India.

“Lebih 50 acara pelancongan disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Pahang 2026, antaranya Cameron Ultra Trail (CULTRA), Pahang International Green Eyes Squid Hunting, Pesta Pelita Raya Pahang, World Music Festival 2026 – ‘Soul of Pahang’ serta Royal Pahang International Billfish Challenge 2026.

“Bagi menyokong pembangunan pelancongan mampan, kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM3 juta bagi projek infrastruktur dan fasiliti pelancongan, selain memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi kerja pemulihan, pemuliharaan dan naik taraf kemudahan serta tapak warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata prestasi sektor pelancongan Pahang menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu seramai 15,275,230 pelancong dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM13.73 bilion yang melepasi sasaran 14 juta pelancong yang ditetapkan bagi tahun 2024.

Menurutnya, jumlah itu meningkat 11.21 peratus berbanding 13,735,474 pelancong pada tahun sebelumnya.

“Statistik ini hanya mengambil kira pelancong yang bermalam sekurang-kurangnya satu malam. Jika pelancong harian diambil kira, jumlah keseluruhan adalah lebih besar,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda