Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Masjid Perlu jadi Tempat Penyatuan, Bukan Perpecahan – MB Selangor

By 11 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

HULU KELANG, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Masjid dan surau perlu terus berperanan sebagai tempat penyatuan umat Islam serta mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata sikap saling menyalahkan, menghukum dan membuat dakwaan melampau dalam hal agama perlu dielakkan kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Salah seorang wakil masjid menerima sumbangan Ihya Ramadan Parlimen Gombak daripada Amirudin.

Menurut beliau, semua nazir masjid telah diingatkan mengenai amanah tersebut ketika menerima watikah pelantikan selaras dengan titah Sultan Selangor supaya institusi masjid tidak menjadi medan perpecahan.

“Kita sudah berpecah dalam banyak perkara termasuk politik dan pertubuhan. Jangan sampai masjid pula menjadi tempat perpecahan, sedangkan ia sepatutnya menjadi tempat terakhir yang memecahkan umat,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau dalam Parlimen Gombak di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, di sini semalam.

Dalam pada itu, Amirudin menyeru pihak pengurusan masjid dan surau memanfaatkan bulan Ramadan untuk menarik lebih ramai jemaah, khususnya golongan muda, agar hati mereka terpaut dengan rumah ibadat.

Amirudin dan wakil masjid serta surau bergambar selepas majlis penyampaian sumbangan Ihya Ramadan Parlimen Gombak.

Katanya, konsep ehsan juga perlu dihayati dalam kehidupan seharian, iaitu melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin dan penuh keikhlasan kerana setiap perbuatan sentiasa berada dalam pengetahuan Allah SWT.

Pada majlis sama, beliau mengumumkan sumbangan berjumlah kira-kira RM1.6 juta bagi membantu operasi masjid, surau, musala dan madrasah di Parlimen Gombak.

Menurutnya, bantuan itu melibatkan 22 masjid, 20 surau jemaah, 77 surau serta 18 musala dan madrasah, dengan kadar RM20,000 bagi setiap masjid, RM15,000 bagi surau jemaah, RM10,000 bagi surau dan RM5,000 bagi musala atau madrasah.

Beliau berharap segala sumbangan dan inisiatif yang disalurkan dapat membantu memakmurkan masjid serta memperkukuh masyarakat dengan semangat ihsan demi kesejahteraan negeri.

-RI

Tinggalkan komen anda