
Laporan/foto: Mohd Fauzan Mahari/Azmi Abd Rahman (Pasir Puteh)
PASIR PUTEH, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Pengusaha-pengusaha tanaman tembikai seluas kira-kira 700 ekar di sekitar Tok Bali, di sini memerlukan sistem saliran air yang lebih tersusun dan menyeluruh bagi menjamin kelangsungan serta produktiviti hasil pertanian.

Cikgu Zarir Yaakob , pemimpin masyarakat yang mewakili para petani membentangkan masalah yang dialami kepada wakil agensi-agensi berkaitan yang hadir.
Pemimpin masyarakat setempat, Zarir Yaakob, 57, berkata aduan pengusaha tembikai tempatan mendapati cadangan pembangunan sistem saliran melibatkan jajaran sepanjang kira-kira 15 kilometer di kawasan tersebut dijangka menimbulkan masalah kepada pengusaha.
“Ia merangkumi kawasan utama tanaman yang kini berdepan masalah pengurusan air, khususnya ketika musim kemarau dan hujan lebat berterusan akibat perubahan cuaca tidak menentu.
“Masalah saliran yang tidak terancang berisiko menyebabkan rekahan tanah semasa kemarau serta takungan air berlebihan ketika hujan seterusnya menjejaskan struktur tanah, pertumbuhan pokok dan kualiti buah tembikai selain meningkatkan risiko kerugian hasil dan kos operasi petani,” katanya, di sini kelmarin.

Antara pengusaha tembikai yang hadir.
Justeru, para pengusaha berharap agar pihak berkaitan dapat mempertimbangkan pembinaan dan penambahbaikan sistem saliran air yang lebih efisien bagi mengurangkan risiko kerosakan tanaman serta meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan petani setempat.
Hasil perbincangan bersama Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (ICU JPM Kelantan), Pejabat Pertanian Jajahan Pasir Puteh dan Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Jajahan Pasir Puteh, Selising mendapati keperluan sistem saliran ini selari dengan usaha memperkukuh sektor agromakanan negara.
-RI





