
Laporan/foto: Salawati Mat Shariff (Daerah Timur Laut)
GEORGE TOWN, 1 Feb (MalaysiaAktif) – Menjelang Thaipusam, penganut agama Hindu berasa amat teruja menantikan perarakan Pedati Emas dan Pedati Perak tanda perayaan Thaipusam akan disambut.
Pedati Emas ini telah diperkenalkan sebagai pedati rasmi Thaipusam Pulau Pinang sejak tahun 2017 dan berada dibawah seliaan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB).

Suasana Thaipusam lebih meriah apabila masyarakat Cina turut sama meraikan perayaan ini dengan penuh keterujaan dan hormat.
Selain perarakan pedati, penganut Hindu akan memecahkan kelapa tanda membayar nazar.
Terdapat juga di antara mereka yang membawa ‘archenai’ iaitu talam persembahan yang berisi kelapa, wang, buah-buahan, susu dan bunga sebagai tanda kesyukuran.
Pelbagai kaum turut menunggu perarakan pedati ini untuk menyaksikan kepelbagaian budaya, kepercayaan agama selain menghormati kaum-kaum lain menjalankan upacara ritual agama mereka.
Seorang peserta perarakan R. Sethilkumar, 43, berkata sebagai orang tempatan pastinya setiap tahun saya dan keluarga tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai acara ini.

Pelancong luar negara tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan perarakan pedati.
“Setiap langkah dalam perarakan ini membawa doa dan harapan agar kehidupan kami sekeluarga terus diberkati dan dilindungi,” katanya, di sini semalam.
Sementara itu William, 43, pelancong luar negara berasa amat teruja dan kagum semasa menyaksikan perarakan pedati ini yang berlangsung dalam suasana meriah dan turut dihadiri oleh kaum-kaum lain selain India.
Tinjauan turut mendapati anggota keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sukarelawan sentiasa bersiap siaga bagi mengawal keselamatan dan lalu lintas.
-RI





