Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Persediaan Sambut Thaipusam Meriah di George Town

By 1 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: U. Prakash (Timur Laut)

GEORGE TOWN, 1 Feb (MalaysiaAktif) – Semangat kebersamaan dan perpaduan jelas terserlah dalam persiapan menyambut Sambutan Hari Thaipusam apabila Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Medan Angsana, KRT Jalan Semarak Api serta Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gelugor berganding bahu menganjurkan program pengagihan makanan kepada orang ramai, di sini semalam.

Edaran pek makanan di Lebuh Chulia dibuat oleh ahli jawatankuasa seawal jam 5.30 pagi.

Program pengagihan sarapan berupa nasi lemak itu bermula seawal jam 5.30 pagi di Lebuh Chulia, dengan sebanyak 500 pek makanan diedarkan kepada penganut serta pengunjung yang hadir bagi menyertai perarakan Hari Thaipusam.

Pengerusi KRT Medan Angsana, M. Mahendran, 49, berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada persiapan komuniti setempat bagi memastikan kebajikan orang ramai yang hadir sejak awal pagi terus terpelihara, selain menyemarakkan nilai keharmonian dan semangat muhibah.

“Program ini menjadi platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang. Ia mencerminkan keprihatinan komuniti setempat dalam menyantuni para pengunjung,” katanya.

Sambutan Thaipusam turut dimeriahkan dengan perarakan pedati yang dihias indah membawa Dewa Murugan serta simbol-simbol keagamaan melalui jalan utama bandar raya.

Perarakan tersebut bukan sahaja menambah kemeriahan suasana, malah memberi peluang kepada masyarakat pelbagai kaum menyaksikan secara dekat keunikan tradisi dan warisan perayaan Thaipusam.

-RI

Tinggalkan komen anda