
Laporan/foto: Herlina Ainizawati Zakaria (Shah Alam)
SHAH ALAM, 5 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 90 petugas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor menerima sumbangan Baucar Jom Shopping Perayaan Aidilfitri bernilai RM200 setiap seorang.
Penerima terdiri daripada pekerja pembersihan, pemandu serta kakitangan sokongan teknikal di bawah pentadbiran SUK Selangor dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM12,600.

Amirudin menyampaikan Baucar Jom Shopping Perayaan Aidilfitri kepada salah seorang petugas di Bangunan SUK Selangor.
Sumbangan disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) sejurus selesai Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri (MTES), semalam.
Amirudin berkata pemberian baucar tersebut merupakan tanda keprihatinan kerajaan negeri dan mendapat kelulusan khas bagi memastikan golongan pekerja sokongan tidak tercicir daripada bantuan musim perayaan.
“Pada tahun-tahun sebelum ini, kita lazimnya menyalurkan sumbangan dalam bentuk bakul makanan.
”Namun, tahun ini kita memutuskan untuk memberikan baucar bernilai RM200 bagi memberi kebebasan kepada penerima untuk memilih barangan keperluan mengikut kehendak dan kesesuaian keluarga masing-masing,” katanya.
Amirudin turut berharap inisiatif itu dapat diteruskan sebagai tanda keprihatinan berterusan kerajaan negeri terhadap kebajikan warga kerja peringkat bawahan yang menjadi tulang belakang pengurusan fasiliti kerajaan.
“Kita berharap melalui sumbangan ini, mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria bersama keluarga tersayang,” ujarnya.
-RI





