
Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther/Pejabat Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Pulau Pinang
GEORGE TOWN, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun Goh Choon Aik mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang yang baharu dalam satu istiadat yang berlangsung di kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Seri Mutiara, di sini hari ini.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.
Goh dilantik bagi menggantikan ADUN Pantai Jerejak Fahmi Zainol yang ditamatkan perkhidmatan sebagai Ahli MMK pada 4 Mac lalu.
Beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib sambil disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Chow berkata Goh akan dilantik sebagai Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat berkuat kuasa hari ini selain mengumumkan penstrukturan semula dua lagi Ahli MMK membabitkan Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dan ADUN Sungai Acheh Rasyidi Zainol.
“Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid akan mengetuai portfolio Pembangunan Agama Islam, Pendidikan dan Pengajian Tinggi dan Pembangunan Koperasi.
“Manakala, Datuk Rashidi Zinol (ADUN Sungai Acheh) pula kini mengetuai portfolio Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan,” katanya.
Sementara itu Goh, berkata beliau akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi.
-RI





