Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Beratur Tujuh Jam Demi Laluan Singkat, Jambatan Batang Paloh Dinanti

By 24 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Yusuf Ahmad (Tanjung Manis)

TANJUNG MANIS, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Hasrat pulang beraya mendorong ratusan pengguna jalan raya sanggup beratur tujuh jam di pangkalan feri Sungai Batang Paloh demi laluan singkat.

Kesesakan luar biasa dikesan sejak dua hari menjelang Aidilfitri apabila aliran kenderaan dari arah Sibu dan Sarikei meningkat mendadak menuju ke Pulau Bruit, Daro dan Matu.

Laluan Batang Paloh kekal menjadi pilihan utama pengguna berbanding jalan alternatif yang lebih jauh walaupun terpaksa menunggu lama.

Pengguna jalan raya sanggup menunggu giliran menaiki feri di Sungai Batang Paloh berikutan Jambatan Batang Paloh yang masih dalam pembinaan bagi menghubungkan kawasan Pulau Bruit, Daro dan Matu.

Situasi tersebut berlaku berikutan Jambatan Batang Paloh masih dalam proses pembinaan bagi menghubungkan kawasan berkenaan.

Pengguna, Azman, 58, berkata beliau sanggup menunggu lama kerana tidak mahu melalui laluan Sibu-Mukah yang lebih panjang.

“Jalan Mukah itu terlalu jauh untuk ditempuh, biarlah saya tunggu di sini asalkan tidak penat memandu jauh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ratusan kenderaan dari arah Sibu dan Sarikei sanggup beratur panjang sehingga tujuh jam di pangkalan feri Sungai Batang Paloh bagi memilih laluan perjalanan yang lebih singkat

Seorang lagi pengguna, Kadizah Aman, 50, turut memilih laluan sama walaupun alternatif lain seperti Jambatan Batang Igan sudah boleh digunakan.

“Perjalanan ini lebih singkat dan saya tidak mahu berpusing jauh semata-mata untuk mengelak feri,” katanya.

Pengguna jalan raya menaruh harapan tinggi agar pembinaan Jambatan Batang Paloh dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Mereka berharap jambatan tersebut dapat digunakan sepenuhnya menjelang Aidilfitri 2027 sekali gus menamatkan kesesakan yang berulang setiap kali musim perayaan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda