
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer menjadi lebih bermakna dengan penganjuran program jualan ‘Mantai Syawal’ yang menawarkan harga barangan basah jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

Kelihatan Anfaal sedang mengedarkan sayur percuma sempena program Jualan Agro MADANI Pra-Syawal yang diadakan hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer Anfaal Saari, berkata program yang berlangsung di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang itu bertujuan membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan segar pada harga mampu milik.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, sebanyak 10 ekor lembu dan 1,000 ekor ayam segar disediakan untuk jualan tersebut.
“Ini adalah harga yang sangat mampu milik untuk rakyat. Kita mengalu-alukan semua warga Templer dan Selayang yang berhampiran untuk datang membeli persiapan memasak sempena Syawal nanti,” katanya.

Pengunjung Jualan Agro MADANI di Bandar Baru Selayang sedang membeli daging segar dengan harga yang lebih murah daripada pasaran.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Jualan Agro MADANI (JAM) Pra-Syawal anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli dan Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri.
Bagi menambah keceriaan pembeli, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Zon 10 dan Zon 11 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) turut mengedarkan 9,000 keping kupon percuma
Program yang bermula seawal jam 7 pagi hingga 3 petang itu merupakan inisiatif pejabat ADUN Taman Templer bagi menyantuni kebajikan penduduk setempat dalam mendepani kos sara hidup menjelang musim perayaan.
-RI





