Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Penghijrahan Akidah Bukan Pertukaran Bangsa atau Budaya

By 16 Mac 2026Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Masyarakat diseru agar memahami bahawa penghijrahan akidah seseorang merupakan penyatuan ke dalam agama dan bukan proses pertukaran identiti bangsa atau budaya.

Eksekutif C Majlis Islam Sarawak Yakub Abdullah menegaskan perkara tersebut semasa Program Ziarah Ramadan Saudara Kita di Masjid Al-Falah, Kampung Jaong Jaya, semalam.

“Islam adalah rahmat untuk seluruh alam yang merentasi batas warna kulit dan keturunan,” katanya.

Yakub menjelaskan apabila seseorang memilih Islam, individu tersebut memasuki agama Allah yang syumul dan bukannya memasuki kelompok bangsa tertentu.

Program tersebut merupakan kolaborasi strategik antara Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman dan Bahagian Kemajuan Saudara Kita Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Dalam majlis itu, seramai 20 mualaf disantuni melalui pemberian Sumbangan Bakul Makanan bagi memperkukuh ukhuwah sesama komuniti.

Sumbangan tersebut disempurnakan oleh wakil Pemangku Pegawai Agama Islam Bahagian Sri Aman Zulkiffle Abas.

Turut hadir menyampaikan sumbangan tersebut ialah Ketua Kampung Jaong Jaya Abdul Rahman Abdullah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda