
Laporan/foto: Nur Shazreena Harith/Muhammad Badri Ishak
NILAI, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, orang ramai dilihat semakin giat membuat persiapan termasuk menyediakan pelbagai juadah tradisional seperti lemang, ketupat dan rendang, selain biskut serta kek sebagai pelengkap hidangan.

Antara pilihan kek lapis Sarawak yang ada di sini
Di Sungai Mahang, Batang Benar, sebuah perusahaan kek lapis tempatan, Kenyalang Layers terus mencuri perhatian dengan keunikan produk yang ditawarkan.
Pengasasnya, Dayang Haspariza Awang berkata perusahaan yang diasaskan sejak 2010 itu kini semakin berkembang hasil minat mendalam terhadap seni pembuatan kek.
Menurut beliau, keistimewaan Kenyalang Layers terletak pada penghasilan kek lapis yang sinonim dengan negeri Sarawak, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat di Semenanjung menikmati kehalusan tekstur serta keunikan corak kek berkenaan.

Kelihatan pekerja sebang membungkus kek lapis
Tambah beliau, perniagaan itu turut diperluaskan dengan menawarkan hidangan tradisional Sarawak seperti Laksa Sarawak dan Mi Kolok bagi memperkenalkan cita rasa Borneo kepada masyarakat setempat.
“Di mana sahaja kita berada, identiti Sarawak tetap menjadi sebahagian daripada diri,” katanya.
Keaslian produk terus terpelihara apabila kesemua tenaga kerja terdiri daripada anak jati Sarawak, sekali gus memastikan setiap hasil yang dihasilkan mengekalkan rasa autentik serta warisan budaya yang tersendiri.
-AA-





