
Laporan/foto: Hikal Aripin/UPBN Selangor (Petaling)
PETALING, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Kebakaran belukar seluas kira-kira 15 hektar (37 ekar) di Taman Puncak Jalil, di sini yang dikesan sejak petang Rabu lalu berjaya dipadamkan sepenuhnya awal pagi semalam.

Pemantauan dari udara oleh Unit Dron UPBN.
Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa kebakaran yang bermula sekitar jam 4.12 petang itu berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.00 pagi semalam.
Menurut kenyataan itu, skuad UPBN telah menjalankan pemantauan menyeluruh secara darat dan udara bagi memastikan tiada lagi tompokan api atau punca kebakaran yang masih aktif di kawasan terbabit.
“Pemantauan udara dilakukan bertujuan mendapatkan imej visual kawasan bagi mengenal pasti sekiranya masih terdapat kawasan yang terbakar. Setakat ini, keadaan cuaca di lokasi dilaporkan mendung dan berangin,” katanya.

Anggota bomba memastikan api telah padam sepenuhnya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan keluasan kawasan yang terjejas adalah sebanyak 37 ekar, manakala punca sebenar kejadian masih dalam proses siasatan.
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama JBPM turut kekal berada di lokasi bagi memantau situasi semasa di sekitar kawasan kebakaran bagi menjamin keselamatan penduduk setempat.
Operasi pemadaman dan pemantauan tersebut melibatkan kerjasama bersepadu antara pelbagai agensi termasuk UPBN, JBPM, PDRM dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
-RI





