
Laporan/foto: Azrul Abdullah (Padang Terap)
KUALA NERANG, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah terus memperkukuh hubungan bersama masyarakat setempat menerusi penganjuran Majlis Iftar sempena Program Kepenggunaan Ramadan yang berlangsung di Masjid Kampung Tanjung Kiri petang semalam, dengan kehadiran kira-kira 300 jemaah dan penduduk setempat.

Pengarah KPDN Negeri Kedah ketika menyampaikan ucapan
Program tersebut bertujuan mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi di samping menyemai nilai kebersamaan dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Salah satu pengisian utama majlis ialah penyampaian sumbangan kepada 18 pelajar asnaf dari Universiti Utara Malaysia (UUM) cawangan Padang Terap bagi membantu meringankan beban mereka menjalani ibadah puasa serta membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid serta Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin, berkata program seumpama ini merupakan manifestasi komitmen KPDN untuk bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan, malah turut menyantuni masyarakat melalui aktiviti kebajikan.

Suasana berbuka puasa di Masjid Kampung Tanjung Kiri yang berlangsung sederhana namun meriah
“Program ini merupakan satu usaha agensi kerajaan seperti KPDN untuk turun padang dan berada bersama-sama rakyat. Kami mahu masyarakat merasai kehadiran KPDN bukan sahaja di pasar, tetapi juga dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Sebelum waktu berbuka puasa, para hadirin turut dihidangkan dengan pengisian rohani menerusi tazkirah Ramadan oleh mantan Timbalan Mufti Kedah, Dato’ Syeikh Abdullah Awang Sa, yang menekankan agar keberkatan Ramadan dijadikan medan mendidik umat Islam menjadi pengguna bijak, mengelakkan pembaziran serta sentiasa mensyukuri nikmat rezeki yang dikurniakan.
Penganjuran program ini membuktikan bahawa sinergi antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan institusi agama mampu mewujudkan impak positif yang menyeluruh kepada kesejahteraan komuniti, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dan keprihatinan sosial dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya di daerah Padang Terap.
-AA-





