Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

KPDN Kedah Santuni Pengguna di Bazar Ramadan Kuala Nerang

By 13 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azrul Abdullah (Padang Terap)

KUALA NERANG, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Sempena sambutan Hari Pengguna Sedunia 2026, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah menganjurkan program kepenggunaan bertemakan Berkat Ramadan: Pengguna Bijak di Bazar Ramadan Kuala Nerang bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak pengguna serta mempromosikan amalan perbelanjaan bijak sepanjang bulan Ramadan.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid yang meluangkan masa melakukan sesi walkabout dengan menyantuni para peniaga serta pengunjung bazar bagi mendengar sendiri pandangan dan pengalaman mereka sebagai pengguna dan peniaga.

Ghazali Hasbullah, amat gembira apabila dapat menerima kredit e-wallet rm20 yang bakal digunakan untuk membeli juadah berbuka puasa

Selain beramah mesra, beliau turut mengetuai aktiviti pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai sebagai simbolik keberkatan bulan Ramadan.

Dalam masa sama, pihak KPDN turut mengambil kesempatan mempromosikan penggunaan aplikasi Price Catcher, sebuah platform digital yang membolehkan pengguna menyemak serta membandingkan harga barangan secara masa nyata bagi membantu mereka membuat pilihan perbelanjaan yang lebih bijak.

Bagi menggalakkan transaksi tanpa tunai serta membantu meringankan kos sara hidup, pihak penganjur turut mengagihkan insentif khas dalam bentuk kredit e-wallet Touch ’n Go eWallet sebanyak RM20 kepada peniaga dan pengguna terpilih di lokasi program.

Salah seorang penerima, Ghazali Hasbullah, 36, yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Nerang, melahirkan rasa syukur atas inisiatif tersebut.

“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan dan KPDN atas pemberian e-wallet ini. Sekurang-kurangnya ia dapat digunakan untuk membeli juadah berbuka puasa buat anak-anak dan keluarga petang ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Melalui penganjuran program ini, KPDN Kedah berharap masyarakat akan lebih peka terhadap hak-hak mereka sebagai pengguna serta tidak teragak-agak menyalurkan aduan sekiranya berlaku sebarang salah laku dalam urus niaga.

Inisiatif seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan ekosistem perdagangan yang lebih adil, telus dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat.

-AA-

Tinggalkan komen anda