Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Konflik Asia Barat: Kerajaan Pantau Rapi Harga Minyak, Jamin Bekalan Makanan Stabil

By 7 Mac 2026Mac 8th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur/Mohammad Ezwandi (Perak)

IPOH, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan sedang melaksanakan pemantauan rapi terhadap situasi pergolakan di Asia Barat yang kini mula memberi kesan langsung kepada pasaran tenaga global, termasuk lonjakan harga minyak mentah dunia.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata walaupun krisis global tersebut berupaya mengganggu rantaian ekonomi antarabangsa, tumpuan utama pentadbiran ketika ini adalah untuk meminimumkan impaknya terhadap rakyat Malaysia.

Suasana di dalam Dewan Komuniti Sungai Tapah, semalam.

Menurutnya, dalam mendepani ketidaktentuan ini kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan asas akan terus dipastikan stabil dan mencukupi bagi memenuhi keperluan domestik.

Tambahnya, antara barangan utama yang diberi perhatian khusus bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat termasuklah bekalan protein seperti daging dan ayam, keperluan karbohidrat melalui bekalan beras, serta barangan dapur lain seperti gula.

“Kita mahu memastikan barangan asas ini tidak terkesan dengan apa yang berlaku di peringkat global,” katanya ketika ditemui selepas selesai menyempurnakan Majlis Penyerahan Motosikal di bawah Insiatif Sejahtera MADANI di Dewan Komuniti Sungai Tapah, di sini semalam.

Selain jaminan bekalan makanan, kementerian-kementerian berkaitan katanya kini sedang giat meneliti dan merangka langkah-langkah strategik bagi mengekalkan harga minyak pada kadar yang terkawal.

Langkah ini disifatkan sebagai kritikal bagi melindungi ekonomi tempatan daripada kesan inflasi yang lebih tinggi akibat kenaikan kos pengangkutan dan pengeluaran.

“Kerajaan cuba sedaya upaya untuk memastikan harga minyak itu masih dapat dikawal dengan baik bagi memastikan kestabilan ekonomi dalam negara kekal terpelihara,” katanya.

Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat tidak terabai di sebalik cabaran geopolitik dunia yang semakin mencabar.

-RI

Tinggalkan komen anda