Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

Ops Princess: JKNJ Rampas Produk Estetik Tidak Berdaftar Bernilai RM60,000

By 7 Mac 2026Mac 8th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/Jabatan Kesihatan Negeri Johor

JOHOR BAHRU, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) merampas lebih 60 jenis produk kesihatan dan kosmetik pelbagai jenama dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM60,000, Khamis lepas.

Pengarahnya Dr. Mohtar Pungut @ Ahmad berkata rampasan menerusi Op Pincess itu menyasarkan seorang individu yang dipercayai melakukan kegiatan penyediaan perkhidmatan rawatan estetik haram hasil aduan orang awam.

“Individu berkenaan disyaki menjalankan prosedur kecantikan menggunakan produk kesihatan tidak berdaftar dan kosmetik tanpa notifikasi.

“Satu pemeriksaan mengejut hasil tindakan bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Negeri Johor serta Bahagian Pergigian Negeri Johor telah dilakukan pada 3 Mac lalu di sebuah rumah kediaman yang dijadikan premis operasi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata produk yang dirampas merangkumi item mengandungi racun berjadual, produk jenama luar negara yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa, serta alat kosmetik tidak bernotifikasi.

Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 serta Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun, bergantung kepada jenis kesalahan.

Beliau berkata operasi berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan JKNJ dalam membanteras pengedaran produk kesihatan haram yang berisiko memudaratkan orang ramai.

“Orang ramai dinasihati agar sentiasa menyemak status pendaftaran produk melalui laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di www.npra.gov.my sebelum membuat sebarang pembelian atau menjalani rawatan estetik,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda