
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 5 Mac (MalaysiaAktif) – Majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan asnaf dari Darul Kifayah diadakan di Lazenda Hotel, di sini, semalam bagi menyantuni golongan berkenaan sempena bulan Ramadan.
Pengurus Operasi Lazenda Hotel, Irene Florentina berkata pihaknya komited melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya sepanjang Ramadan sebagai usaha menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat.
“Bulan Ramadan adalah bulan penuh keberkatan dan peluang untuk kita berkongsi rezeki serta menyantuni mereka yang memerlukan. Semoga usaha ini membawa keberkatan dan rahmat buat semua,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Pada majlis itu, seramai 30 anak yatim dan asnaf menerima sumbangan berupa wang tunai serta buah tangan.
Beliau berharap inisiatif tersebut dapat memberi sedikit keceriaan kepada anak-anak yatim sepanjang Ramadan selain menggalakkan lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Hadir sama, Pengarah Urusan Lazenda Hotel, Chai Tze Kee dan William Chin, yang turut menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim dan asnaf.
-RI





