
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)
PENDANG, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Pejabat Daerah dan Tanah Pendang bersama Majlis Daerah Pendang menganjurkan Majlis Berbuka Puasa (Iftar) yang menghimpunkan warga jabatan kerajaan serta agensi swasta sekitar daerah ini di Tasik Pendang, semalam, sebagai platform mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuh kerjasama strategik antara pelbagai pihak sempena bulan Ramadan.
Program yang dianjurkan setiap tahun itu bertujuan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penjawat awam serta wakil agensi swasta di daerah Pendang, di samping mewujudkan ruang interaksi santai di luar suasana kerja bagi mempereratkan lagi jaringan kerjasama antara jabatan.

Antara tetamu jabatan dan agensi yang hadir.
Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Pendang, Lt. (PA) Yuslina Yusoff, yang menyifatkan penganjuran majlis iftar berkenaan sebagai platform terbaik untuk menyatukan warga kerja daripada pelbagai jabatan dan agensi.
“Majlis ini bukan sekadar peluang untuk berbuka puasa bersama, malah mengukuhkan hubungan dalam kalangan pelbagai jabatan serta warga kerja, sekali gus memperkukuh semangat kerjasama antara agensi,” katanya.
Menurutnya lagi, penganjuran pada tahun ini menampilkan kelainan apabila lokasi majlis dipilih di kawasan Tasik Pendang bagi memberikan suasana yang lebih santai dan menarik kepada para hadirin.
“Berbeza dengan tahun lalu, majlis pada tahun ini diadakan di kawasan Tasik Pendang bagi memberi suasana lebih santai dan menarik serta lebih meriah,” ujarnya.
-RI





