
Laporan/foto: Mohd Fauzi (Tampin)
TAMPIN, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Ahli Parlimen Tampin Dato’ Mohd Isam Mohd Isa, menasihatkan pelajar-pelajar khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah ini agar tidak mensia-siakan peluang untuk melanjutkan pengajian.

Mohd Isam menasihatkan pelajar-pelajar agar tidak mensia-siakan peluang melanjutkan pengajian.
“Bagi mereka yang memperoleh keputusan kurang memberangsangkan, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah pilihan terbaik untuk menjamin kerjaya masa depan.
“Hanya pendidikan yang mampu mengubah taraf hidup dan menjamin masa depan. Apabila sudah berjaya kelak, jangan sesekali lupa diri dan berkhidmatlah kembali kepada masyarakat,” ujarnya pada Majlis Iftar Ukhuwah KB PRO, di sini semalam.
Tambahnya lagi, Pusat Khidmat Parlimen Tampin sentiasa terbuka untuk menyokong serta memberi khidmat nasihat kepada pelajar yang ingin menyambung pengajian.
“Selain itu pelbagai bentuk bantuan daripada Kerajaan Pusat dan Negeri yang telah disediakan khusus untuk anak muda yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Hazwani menyampaiakan ucapan.
Sementara itu Pengerusi Kelab Beliawanis Progresif Bandar Tampin (KB PRO), menyeru golongan wanita muda di daerah Tampin agar aktif menyertai aktiviti kemasyarakatan bagi mengelakkan terjebak dengan gejala yang tidak sihat serta pembaziran masa.
Katanya, pihak kelab komited dalam menyediakan platform yang bermanfaat melalui pelbagai pengisian yang merangkumi aspek kemahiran dan sahsiah.
“Kami akan melaksanakan pelbagai program seperti kelas peningkatan kemahiran, aktiviti sukan dan projek kemasyarakatan yang mampu memberi impak positif kepada ahli,” katanya.
Turut hadir Penyelaras DUN Gemas Firdaus Rostam, Ahli Majlis Daerah Tampin Shamsul Yahya serta ahli Sahabat Yayasan Pelajaran MARA (YPM)
-RI





