
Laporan/foto: Senie Endin (Betong)
BETONG, 1 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 41 pemilik tanah menerima pampasan berjumlah RM1,668,346.66 bagi Projek Rakyat menaik taraf Jalan Mara, Jalan Selangking, Ng Sela dan Tanjung Paoh yang diserahkan dalam satu majlis di Rh TR Mubok anak Julie, Tanjung Paoh, di sini kelmarin.
Majlis penyerahan cek pampasan itu disempurnakan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Douglas menyempurnakan penyerahan 68 cek pampasan kepada 41 pemilik tanah sempena Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Projek Rakyat di Tanjung Paoh, Betong.
“Berharap pampasan tersebut dapat memberi manfaat yang sewajarnya kepada penerima, dan pelaksanaan projek akan terus memacu pembangunan serta kesejahteraan komuniti setempat,” kata Unggah ketika berucap pada majlis itu.
Projek di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban dan Parlimen Betong itu diluluskan Majlis Perancangan Negeri pada 4 April 2022 serta melibatkan keluasan 14.81 hektar merangkumi 48 lot tanah Hak Adat Bumiputera (NCL).
Sebanyak 68 keping cek diserahkan kepada 41 penerima dengan pelaksanaan projek dikendalikan Jabatan Kerja Raya manakala majlis dianjurkan Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu @ Aman Begri, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong Sabai, Wakil Residen Bahagian Betong Florence Bulan Johnny, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong TPr Moris Sayup serta Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya Bahagian Betong.
-RJ-





