Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pertandingan Susul, Colour Light Semarakkan Aidilfitri Tanjung Keramat

By 19 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hafidah Japar (Putatan)

PUTATAN, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tanjung Keramat tahun ini diserikan dengan penganjuran Pertandingan Susul dan Colour Light yang mendapat sambutan hangat penduduk setempat.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata pertandingan tersebut diadakan bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri melalui penghasilan pelbagai reka bentuk kreatif lampu pelita susul serta hiasan lampu berwarna-warni.

Shahelmey Yahya (tengah) berkongsi harapan agar Pertandingan Susul dan Colour Light di Tanjung Keramat, semalam, diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuh kebersamaan penduduk.

“Program ini disertai seramai 45 peserta dan bukan sahaja menceriakan suasana malah menjadi platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika ditemui di Tanjung Keramat, di sini kelmarin.

Menurut Shahelmey, kemeriahan tersebut bukan hanya pada cahaya lampu tetapi pada semangat perpaduan penduduk yang menjadikan Aidilfitri lebih bermakna.

Beliau turut menegaskan penganjuran pertandingan tersebut menjadi platform menggalakkan penglibatan aktif penduduk dalam aktiviti komuniti sekali gus mewujudkan suasana kejiranan harmoni.

“Keindahan hiasan lampu yang menghiasi kawasan kejiranan bukan sekadar mencantikkan persekitaran malah memperlihatkan usaha masyarakat mengekalkan elemen tradisi,” ujar Shahelmey.

Salah sebuah rumah penduduk di Tanjung Keramat yang menyertai Pertandingan Colour Light, semalam, yang mempamerkan sentuhan kreativiti moden bagi menceriakan persekitaran kejiranan sepanjang musim perayaan.

Beliau menambah program seumpama ini wajar diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha memperkukuh perpaduan komuniti serta mengekalkan kemeriahan sambutan perayaan.

Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori A Lampu Pelita Susul dan Kategori B Lampu Colour Light.

Penilaian berlangsung dari 10 hingga 16 Mac manakala malam kemuncak diadakan pada 17 hingga 18 Mac yang menyaksikan kawasan kejiranan dihiasi limpahan cahaya lampu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda