
Laporan/foto: Chan Suk Leng (Sibu)
SIBU, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Bermula sebagai deretan gerai kecil di Jalan Market pada tahun 1973, Pasar Malam Sibu kini berkembang menjadi destinasi ikonik yang menggabungkan warisan sejarah dan kemodenan.
Pasar malam yang kini beroperasi di Cross Road itu bukan sahaja menjadi pusat perniagaan kecil malah mencerminkan keharmonian masyarakat melalui kepelbagaian juadah tempatan.
Transformasi yang dilaksanakan pada tahun 2017 telah memberikan nafas baharu kepada pasar tersebut dengan kemudahan yang lebih selesa bagi pengunjung.

Pasar Malam Sibu mencerminkan keharmonian masyarakat Sarawak melalui kepelbagaian juadah tempatan yang autentik.
Penambahbaikan itu dilakukan tanpa menjejaskan nilai nostalgia yang menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara.
Pengunjung Qamarul Arifin, 25, berkata pasar malam tersebut menjadi lokasi wajib dikunjungi setiap kali beliau pulang ke kampung halaman dari Miri.
“Saya tidak pernah lepaskan peluang singgah di sini kerana ayam panggang di pasar malam ini mempunyai rasa yang tersendiri,” katanya kepada MalaysiaAktif semalam.
Qamarul memberitahu suasana yang sentiasa hidup menjadikan pasar tersebut kekal relevan sebagai destinasi pilihan yang menawarkan pengalaman berbeza.

Pasar Malam Sibu yang menjadi ikon gastronomi sejak 1973 terus menggamit selera pengunjung dengan pelbagai pilihan makanan tradisional dan aneka minuman segar yang dijual pada harga berpatutan.
Seorang peniaga yang dikenali sebagai Wong memaklumkan bahawa permintaan pelanggan meningkat ketara terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.
Pilihan makanan yang pelbagai dengan harga berpatutan menjadikan pasar tersebut sebagai nadi ekonomi kecil bagi penduduk setempat.
Pasar Malam Sibu terus berdiri sebagai simbol identiti masyarakat sekali gus kekal sebagai destinasi wajib bagi setiap pelancong yang berkunjung ke daerah ini.
-RJ-





