Skip to main content
Berita TempatanSabah

Program Jejak Kanser 2026 Galak Kesedaran Saringan Awal Di Ranau

By 30 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Municca Kiat/Robitikson Majingka (Ranau)

RANAU, 30 Mac (MalaysiaAktif) – Usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pengesanan awal kanser terus diperkasa menerusi pelancaran Program Jejak Kanser 2026 di Dewan Masyarakat Ranau kelmarin.

Arthur Sen menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam memperkukuh agenda kesihatan awam di daerah Ranau.

Inisiatif anjuran Persatuan Pencegah Kanser Sabah (PPKS) itu bertujuan menekankan kepentingan saringan awal bagi meningkatkan peluang rawatan dan kualiti hidup pesakit.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Arthur Sen berkata inisiatif tersebut akan lebih efektif dengan penglibatan lebih ramai pihak menerusi sumbangan kewangan atau kepakaran.

“Usaha ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta bagi mencerminkan keprihatinan terhadap kesihatan rakyat,” katanya kepada MalaysiaAktif.

Beliau dalam pada itu berkata kerajaan negeri sentiasa komited dalam memperkukuh agenda kesihatan awam termasuk usaha pencegahan serta kawalan penyakit tidak berjangkit.

Daipah Mosikin memberikan penerangan mengenai kepentingan saringan kesihatan secara berkala kepada pengunjung Program Jejak Kanser 2026.

Sementara itu, pengerusi PPKS Daipah Mosikin berkata program berkenaan mengambil pendekatan turun padang bagi menyantuni komuniti khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau menjelaskan program yang menyasarkan penyertaan sehingga 200 peserta itu mampu memberi manfaat besar kepada rakyat di negeri ini.

“Program ini memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai penyakit kanser agar mereka lebih peka dan sentiasa melakukan saringan kesihatan secara berkala,” katanya.

Seorang pengunjung Kanis Kamirang, 75, berharap program berkenaan diperluaskan lagi agar manfaatnya boleh dikongsi oleh penduduk di kawasan pedalaman.

-RJ-

Tinggalkan komen anda