
Laporan/foto: Salleh Immun/IPD Mukah (Mukah)
MUKAH, 30 Mac (MalaysiaAktif) – Dua lelaki ditahan polis di sekitar Mukah kelmarin atas kesalahan dadah, dengan seorang daripadanya turut disyaki terlibat dalam kes pecah rumah.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata tangkapan menerusi Op Tapis Khas itu dijalankan menerusi dua serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
Beliau berkata suspek pertama berusia 26 tahun ditahan di tepi Jalan Kampung Litong kira-kira pukul 7.30 pagi.
“Pemeriksaan badan pada suspek tidak menemukan apa-apa namun hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata pihaknya menahan suspek kedua berusia 31 tahun pula setelah menemukan satu tiub straw lut sinar mengandungi bahan disyaki methamphetamine seberat 0.04 gram di sebuah bilik rumah panjang di kawasan Dijih sekitar 12 tengah hari.
Suspek yang positif ujian air kencing turut mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah serta disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan kecurian tong gas di Nanga Sebatu, Jumaat lepas.
Beliau berkata siasatan melibatkan Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
-RJ-





