
Laporan/foto: George Humprey Dolek (Sarawak)
KOTA SAMARAHAN, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Penganjuran program kerohanian seperti tadarus, qiamullail dan khatam al-Quran menjadi medium penting membudayakan amalan sunah serta menggalakkan golongan belia mendekatkan diri dengan al-Quran sepanjang Ramadan.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan dalam satu kenyataan memaklumkan sehubungan itu, program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Sarawak bertujuan menjadi platform menarik minat belia mengimarahkan Ramadan melalui aktiviti kerohanian.

Rubiah (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan Khatam Al-Quran kepada Afeena Fariesha Razali dari Miri sambil disaksikan Lamat Nyalau, Awang Dulhadi, Abdulah Daraup dan Ahmad Abdul Razak.
“Pada masa yang sama, inisiatif seperti ini turut membantu menyemarakkan syiar Islam dan memupuk nilai murni melalui penghayatan al-Quran serta amalan sunah dalam kehidupan seharian,” menurut kenyataan itu.
Majlis yang berlangsung pada Jumaat di Masjid Al Malik, Taman Unigarden disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang.
Program dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak itu berjaya menghimpunkan 203 belia dari pelbagai latar belakang.

Seramai sembilan peserta belia lelaki mewakili bahagian di Sarawak membaca Al-Quran pada Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Al Malik, Taman Unigarden, Kota Samarahan.
Daripada jumlah itu, 92 peserta terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Muara Tuang, Pusat Pengajian Tafaqquh Fiddin dan Tahfiz Al Makki menyertai tadarus al-Quran, manakala 100 belia dari Bahagian Kota Samarahan mengambil bahagian dalam aktiviti qiamullail.
Selain itu, 11 belia termasuk sembilan lelaki dan dua wanita dari seluruh Sarawak turut mengambil bahagian dalam majlis khatam al-Quran sebagai simbolik penutup pengisian program tersebut.
-RJ-





