
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/5PM DC W.P Labuan
LABUAN, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Daerah Cawangan Labuan (5PM DC W.P Labuan) membuktikan bahawa gelaran ‘guru’ itu kekal buat selamanya melalui penganjuran program amal ‘Kami Sayang Kamu’ dengan menyantuni anak-anak asnaf dan yatim.

Dayang (tengah) menyampaikan bantuan duit raya dan bakul makanan kepada pelajar SMK Rancha-Rancha.
Pengerusinya Dayang Pungut Abdul Jalil berkata walaupun telah lama meninggalkan bilik darjah, ahli-ahli persatuan itu menunjukkan sifat pendidik yang tebal masih mengalir dalam diri melalui keprihatinan yang mendalam terhadap soal kebajikan pelajar dari golongan yang memerlukan.
“Jiwa kami masih jiwa pendidik dan kami terpanggil untuk ambil peduli khasnya kepada anak-anak asnaf atau yatim ini dalam persediaan mereka menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
“Bantuan ini diharap dapat menceriakan wajah mereka dan sedikit sebanyak meringankan beban kewangan keluarga dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri nanti,” katanya semasa ditemui media, di sini semalam.
Jelasnya, usaha murni yang sudah menjadi acara tahunan itu diharapkan dapat menjadi pencetus semangat kepada anak-anak tersebut untuk terus berjaya sekali gus membuktikan bahawa masyarakat terutamanya golongan pendidik sentiasa berdiri teguh di belakang mereka.

Para pelajar SMK Mutiara ceria menerima sumbangan masing-masing.
“Pihak kami menyelaraskan bantuan daripada dana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk disampaikan kepada 60 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lajau dan SMK Mutiara.
“Manakala lapan orang pelajar SMK Rancha-Rancha menerima bantuan hasil sumbangan ikhlas para ahli persatuan sendiri dan beberapa penyumbang lain.
-RI





