
Laporan/foto: Azrul Azham/Jabatan Agama Islam Pahang
JERANTUT, 5 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Pahang menyalurkan peruntukan berjumlah RM175,000 kepada petugas agama negeri sempena Majlis Penyampaian Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) Tahun 1447H/2026M bagi daerah Jerantut dan Jengka yang berlangsung di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, di sini kelmarin.

Syed Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata keupayaan kerajaan negeri menyalurkan bantuan adalah hasil pengurusan kewangan negeri yang berhemah dan tersusun.
“Menteri Besar Pahang telah mengumumkan dalam bajet hampir RM2 juta untuk diagihkan kepada imam, bilal, siak, guru takmir, wali hakim dan badan khairat kematian”, katanya pada majlis penyampaian bantuan tersebut,” katanya pada majlis berkenaan.
Seramai 205 orang imam, 161 orang bilal, 157 orang siak, 76 orang guru takmir dan 64 wali hakim telah menerima BKA tahun ini.
Selain itu, sebanyak 51 Badan Khairat Kematian turut menerima sumbangan yang disalurkan bagi membantu melancarkan pengurusan kebajikan masyarakat setempat.

Haris Salleh menyampaikan sumbangan kepada penerima.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar Norsafirnaz Mohd Azman berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan negeri di bawah naungan Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Bantuan ini adalah bagi memastikan kebajikan para petugas agama sentiasa terbela, terutamanya bagi persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Haris Salleh Hamzah, Pengarah Unit Perancangan, Operasi dan Data Strategik (UPODS) Negeri Pahang Datuk Wan Salman Wan Ismail, Penyelaras DUN Jengka Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Mohd Rasmawi Harun.
-RI





