
Laporan/foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)
BALING, 5 Mac (MalaysiaAktif) – Masyarakat setempat di Baling menerima sumbangan makanan basah dan barangan keperluan harian melalui Program Ziarah Kasih Ramadan, kelmarin.
Penasihat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon 5 Baling Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata Ramadan merupakan bulan terbaik untuk memperbanyakkan amal kebajikan dan mengukuhkan hubungan silaturahim dalam masyarakat.

Abdul Azeez menaiki motosikal bagi menyampaikan bantuan di Program Ziarah Kasih.
“Program Ziarah Kasih bukan sekadar menyampaikan bantuan fizikal, malah menjadi ruang untuk bertanya khabar, mendengar rintihan dan berkongsi doa agar setiap penerima dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta dilimpahi keberkatan,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Beliau turut berharap usaha seumpama ini dapat diteruskan secara konsisten dan diperluaskan dengan kerjasama pelbagai pihak pada masa hadapan, bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada arus kebajikan dan pembangunan.
Salah seorang penerima bantuan, Fatimah Salleh, melahirkan rasa syukur atas keprihatinan yang ditunjukkan.

Abdul Azeez menziarahi pesakit sekitar Parlimen Baling.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu kami membuat persiapan berbuka dan sahur sepanjang Ramadan.
“Saya doakan agar semua yang terlibat dalam program ini dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki,” katanya.
Program berkenaan turut memberikan sumbangan kepada pihak Maahad Tahfiz Al-Quran Ihyaa Uddin dan Pusat Jagaan Bakti Darul Aitam sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni kedua-dua institusi dalam membimbing pelajar serta menjaga kebajikan penghuni masing-masing.
-RI





