
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/SWCorp Johor
KULAI, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengedarkan sebanyak 200 unit Kit Kompos kepada isi rumah sebagai usaha proaktif mengurangkan lambakan sisa makanan di tapak pelupusan sampah sepanjang bulan Ramadan ini.

Selain edaran kit kompos, SWCorp turut menawarkan ganjaran e-Tunai Touch ‘n Go kepada 30 pengunjung yang membawa beg guna semula atau bekas makanan sendiri di bazar
Inisiatif di bawah Kempen Hargai Sisa Demi Kelestarian itu dilaksanakan dengan kepakaran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi memudahkan masyarakat menguruskan sisa makanan secara lebih lestari melalui aktiviti pengkomposan di rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata melalui penggunaan kit tersebut, sisa makanan harian seperti sayur-sayuran, buah-buahan, nasi dan roti boleh diproses menjadi baja organik yang bermanfaat.
“Penggunaan 200 unit kit kompos ini dianggarkan mampu menyelamatkan kira-kira 400 kilogram sisa makanan serta mengurangkan 1,468 kilogram pelepasan karbon dioksida (CO?).
“Selain itu, ia berupaya menghasilkan 120 kilogram baja organik dalam tempoh sebulan yang sangat berguna untuk aktiviti tanaman,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran program tersebut di Bazar Ramadan Jalan Siantan 3, Indahpura Kulai, di sini hari ini.

Program 5R4DR (5R for Duit Raya) antara pengisian Kempen Hargai Sisa Demi Kelestarian
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata data menunjukkan trend penurunan ketara bagi pelupusan makanan yang masih boleh dimakan, iaitu sebanyak 11.74 peratus tahun ini berbanding tahun lalu.
Menurut beliau, statistik menunjukkan komposisi sisa makanan pada tahun 2024 adalah sebanyak 44.5 peratus, sebelum menurun kepada 40.97 peratus pada 2025 dan dijangka terus berkurangan kepada 39.62 peratus menjelang penghujung 2026.
“Penurunan ini mencerminkan peningkatan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menghargai makanan dan mengelakkan pembaziran, khususnya pada bulan yang mulia ini,” tambah beliau.
Bagi menggalakkan amalan hijau, 30 pengunjung yang membawa beg guna semula atau bekas makanan sendiri menerima ganjaran e-Tunai Touch ‘n Go, manakala 50 pengunjung terawal menerima pocket pouch eksklusif daripada fabrik kitar naik (upcycle).
Turut hadir, Pegawai Daerah Kulai Fizwan Mohd Rashidi, Pengarah SWCorp Negeri Johor Zainal Fitri Ahmad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) Mohd Hafiz Aliman.
-AA-





