Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

20 Pesalah Buang Sampah Jalani PKM Serentak Di Johor Bahru

By 30 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/SWCorp Johor

JOHOR BAHRU, 30 April (MalaysiaAktif) – Seramai 20 individu yang disabitkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam telah menjalani hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) siri ketujuh secara serentak di Taman Rekreasi Taman Pulai Bestari, di sini hari ini.

Pengarah SWCorp Negeri Johor Zainal Fitri Ahmad berkata pelaksanaan hukuman selama dua jam itu dilaksanakan mengikut peruntukan Seksyen 77B(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672].

Beliau berkata pelaksanaan PKM berkenaan memberi mesej jelas bahawa setiap kesalahan membuang sampah mempunyai implikasi undang-undang.

“Pada masa sama, ia merupakan pendekatan pendidikan yang memberi peluang kepada pesalah untuk memahami kesan perbuatan mereka serta membentuk sikap lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan awam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya kesemua pesalah terdiri daripada pelbagai latar belakang warganegara melibatkan 13 warga tempatan, tiga (Indonesia), dua (Singapura), serta masing-masing seorang warga Bangladesh dan Nepal dengan kesalahan utama melibatkan pembuangan puntung rokok, tin dan bekas minuman serta sisa plastik di tempat awam.

Beliau berkata sebanyak 822 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan di Johor setakat ini melibatkan 457 rakyat tempatan dan 365 bukan warganegara.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 26 kes telah selesai didakwa di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM21,300 serta hukuman PKM antara dua hingga 10 jam bagi setiap individu,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda