
Laporan/foto: Roszilawati Nor Aziz (Sarawak)
KUCHING, 30 April (MalaysiaAktif) – Kolej Komuniti Kuching (KKKG) terus komited memperkasa kebolehpasaran graduan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi pelaksanaan Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan yang memberi fokus kepada peningkatan kemahiran praktikal dan keyakinan diri pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Pengarah Program merangkap Pegawai Perhubungan Latihan Industri dan Alumni KKKG, Ts. Esuryati Kamarudin berkata pelaksanaan program berkenaan penting bagi memastikan pelajar bukan sahaja menguasai kemahiran asas, malah mampu bersaing dalam industri jahitan dan fesyen serta menjana pendapatan secara berdikari.
“Latihan ini dirangka selaras dengan usaha institusi dalam memperkasa kebolehpasaran graduan melalui pendekatan intervensi berfokus, khususnya kepada pelajar berkeperluan khas agar mereka lebih bersedia dan berdaya saing dalam industri,” katanya kepada Malaysia Aktif, hari ini.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi Unit Perhubungan Latihan Industri dan Alumni KKKG bagi membantu graduan Sijil Khas Jahitan Kreatif (KJT) menembusi pasaran kerjaya dalam bidang jahitan dan fesyen.
Sebagai sebahagian daripada program tersebut, kursus penghasilan Baju Melayu Teluk Belanga telah dianjurkan selama dua hari bermula kelamarin di Bengkel KJT, KKKG di sini dengan pelbagai modul kemahiran didedahkan kepada pelajar merangkumi pengenalan asas, pemotongan pola, teknik jahitan, proses kemasan, ‘fitting’ serta sesi peragaan hasil akhir.
Sementara itu, tenaga pengajar jemputan, Suhana Mail berkongsi pelbagai tip serta inovasi jahitan bagi memudahkan pemahaman pelajar, khususnya dalam penghasilan pola dan jahitan Baju Melayu Teluk Belanga.
“Saya menggunakan kaedah yang lebih mudah difahami dan setakat ini para pelajar berjaya menghasilkan Baju Melayu Teluk Belanga dengan kualiti jahitan yang kemas,” katanya.
Salah seorang peserta, Wan Hibri Abdullah berkata menerusi kursus itu beliau dapat mempelajari cara membuat pola baju dan asas jahitan yang amat berguna ketika menjalani latihan industri nanti.
Program ini dilihat sebagai langkah persediaan awal kepada pelajar sebelum menjalani latihan industri yang dijadualkan bermula Jun ini sekali gus membantu mereka menyesuaikan diri dengan keperluan sebenar industri jahitan dan fesyen.
-FN





