
Laporan/foto: Shah Hood (Johor)/Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam
KLUANG, 30 April (MalaysiaAktif) – Penjawat awam diseru untuk terus memperkukuh peranan sebagai pemangkin kesejahteraan rakyat dengan memberi tumpuan kepada impak perkhidmatan yang disampaikan, bukan sekadar penyempurnaan tugas semata-mata.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata setiap pegawai awam perlu hadir dalam perkhidmatan dengan tujuan memperbaiki kehidupan rakyat, dengan menjadikan impak sebagai kayu ukur kejayaan sebenar.
“Keberhasilan bukan diukur pada berapa banyak tugas yang diselesaikan, tetapi sejauh mana rakyat merasai manfaat daripada perkhidmatan yang diberikan,” katanya ketika berucap sempena Program Naratif Visi: Seminar Kefahaman Malaysia MADANI yang berlangsung di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan (IKWAS), di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa aspirasi Malaysia MADANI perlu dihayati sebagai kompas dalam setiap tindakan agar penjawat awam dapat berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan integriti.
“Malaysia MADANI bukan sekadar retorik, sebaliknya menuntut tindakan yang berhemah dan bersasar bagi memastikan kemampanan kewangan negara serta kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar penjawat awam beralih daripada pendekatan berasaskan pematuhan (compliance-driven) kepada pendekatan berasaskan impak (impact-driven), dengan keberanian membuat keputusan secara tangkas serta mencari penyelesaian kreatif demi kepentingan rakyat.
Mengulas cabaran semasa, beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah dalam menghadapi ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat, selain mengutamakan simpanan dan keperluan asas.
-AA-





